360 Penerima di Pakan dan Julau Terima Manfaat STR
JULAU: Seramai 360 penerima di Julau dan Pakan menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bersama manfaat Jualan Rahmah MADANI dalam usaha membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Daripada jumlah itu, masing-masing 180 penerima direkodkan di kawasan Pakan dan 180 lagi di Julau, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan bantuan terus disalurkan kepada golongan yang memerlukan khususnya masyarakat luar bandar.
Sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat turut menunjukkan keperluan berterusan terhadap pelaksanaan program seumpama itu yang bukan sahaja memberi bantuan kewangan secara langsung, malah membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih berpatutan.
Program berkenaan diadakan di dua lokasi berasingan iaitu di Laman Pakan bagi penerima kawasan Pakan, manakala bagi kawasan Julau program berlangsung di Dewan Masyarakat Julau pada Ahad.
Selain memudahkan urusan penyaluran bantuan, pelaksanaan program tersebut turut memastikan setiap penerima yang layak memperoleh manfaat secara lebih tersusun dan efisien.
Turut memeriahkan program ialah Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga berpatutan bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian rakyat.-EDISI UKAS