SIMANGGANG: Budaya pencegahan kebakaran perlu terus diperkasakan dalam kalangan masyarakat bagi mengurangkan risiko kejadian yang boleh mengancam nyawa dan harta benda.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodi berkata, kebanyakan insiden kebakaran sebenarnya mampu dielakkan sekiranya langkah keselamatan asas dipatuhi.
Menurut beliau, setiap isi rumah disaran memiliki alat pemadam api selain memastikan pendawaian elektrik diperiksa secara berkala oleh juruelektrik bertauliah bagi mengurangkan risiko kebakaran.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan berkaitan keselamatan kebakaran dalam institusi keluarga termasuk pelan kecemasan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan setiap anggota keluarga ketika berdepan situasi tidak dijangka.
“Dengan adanya kesedaran dan persediaan ini, setiap individu mampu menjadi barisan hadapan dalam menghadapi kecemasan sekali gus meningkatkan tahap keselamatan keluarga serta komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Sehari Bersama Bomba sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman di Bandar Simanggang, pada Ahad.
Dalam pada itu, Dato Sri Doris turut memuji peranan aktif BBP Sri Aman yang sentiasa mendekati masyarakat menerusi pelbagai program kesedaran seperti Program Bomba Komuniti, Kempen Keselamatan Rumah Panjang dan Kampung, Sedia Urus Risiko Isi Rumah (SURI), ‘Fire Point’, latihan penggunaan alat pemadam api serta ceramah keselamatan.
Beliau yakin inisiatif berterusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mampu melahirkan komuniti yang lebih bersedia dan berdaya tahan dalam menghadapi sebarang kecemasan atau bencana.
“Komuniti yang berilmu dan bersedia akan lebih cekap bertindak sekiranya berlaku kecemasan, justeru program seperti ini wajar diteruskan dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi.
Majlis tersebut turut diserikan dengan pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran sempena Hari Gawai Dayak 2026 selain penyampaian hadiah pertandingan mewarna dan sijil penghargaan kepada agensi kerajaan, sektor swasta, persatuan serta individu yang terlibat.
Turut hadir ialah Ketua Zon 3 JBPM Sarawak, PgB Muhammad Rais Adham Rosalan, Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat Bahagian Sri Aman Marinda Steward Thaim, Ketua BBP Sri Aman PPgB Andrew Vengitasamy serta Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Sri Aman, Isaac Stalin.- EDISI UKAS