MIRI: Peranan guru sebagai pembentuk karakter, pencorak masa depan dan penggerak pembangunan negara kekal relevan serta tidak mampu digantikan walaupun dunia terus berkembang pesat dengan kemajuan teknologi.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, guru bukan sekadar penyampai ilmu di dalam bilik darjah, malah menjadi individu penting dalam membimbing masa depan generasi muda serta mencungkil potensi setiap anak didik.
Menurut beliau, tema Hari Guru tahun ini iaitu “Guru Bitara, Nadi Negara” amat bertepatan dengan tanggungjawab besar yang dipikul golongan pendidik dalam membentuk pembangunan modal insan negara.
“Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu di dalam bilik darjah, tetapi juga membentuk karakter, membimbing masa depan serta mencungkil potensi setiap anak didik.
“Kadangkala satu nasihat, kata-kata semangat atau perhatian daripada seorang guru mampu mengubah kehidupan seseorang anak untuk selama-lamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Hari Guru, Guru Bersara dan Kakitangan Yang Telah Berpindah 2026 Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan di Miri Marriott Resort pada Ahad.
Menurut Dato Sri Lee, walaupun teknologi dan kaedah pembelajaran terus berubah, sentuhan seorang guru tetap mempunyai nilai tersendiri yang tidak dapat digantikan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg terus memberi penekanan terhadap pembangunan pendidikan dan modal insan bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri pada masa hadapan.
Jelas beliau, Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga mahir, profesional dan pakar tempatan khususnya dalam bidang kejuruteraan, teknologi digital, teknologi hijau, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kecerdasan buatan (AI).
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri telah memperkenalkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) yang dilaksanakan mulai tahun 2026 bagi membantu anak Sarawak melanjutkan pengajian tinggi tanpa membebankan keluarga dari segi kewangan.
Menurut beliau, dasar tersebut bukan sahaja bertujuan membantu rakyat, malah bagi melahirkan generasi muda yang mampu memenuhi keperluan pembangunan Sarawak pada masa depan.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan komitmennya untuk terus menyokong keperluan sekolah termasuk menyalurkan pelbagai bantuan dan peruntukan bagi menaik taraf kemudahan SK Tudan.
Antara usaha yang telah dilaksanakan termasuk pembinaan laluan berbumbung dan pondok menunggu bagi memberi keselesaan kepada murid serta warga sekolah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah dan Kelab Jawatankuasa Kebajikan Guru dan Kakitangan SK Tudan atas penganjuran majlis tersebut yang disifatkan mampu mengeratkan hubungan silaturahim selain menghargai jasa guru dan kakitangan sekolah.
Majlis itu turut meraikan guru yang bakal bersara serta kakitangan yang berpindah selepas menabur khidmat dan bakti kepada sekolah serta dunia pendidikan.-EDISI UKAS