Sarawak Perhebat Langkah Mitigasi Tangani Kesan Kemarau
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) terus memperkukuh kesiapsiagaan bagi menghadapi musim kemarau susulan fenomena peralihan monsun yang dijangka berterusan sehingga September tahun ini.
Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, keadaan cuaca tersebut dijangka menyebabkan penurunan paras air di empangan bekalan air, muka sauk serta empangan janakuasa hidroelektrik di beberapa kawasan di Sarawak.
Menurut beliau, situasi itu berpotensi menjejaskan operasi loji rawatan air, penjanaan hidroelektrik serta aktiviti harian penduduk yang bergantung kepada pengangkutan sungai.
“Kementerian saya melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Water dan Sarawak Energy sentiasa memantau serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan keadaan adalah terkawal.
“Antara usaha dilaksanakan termasuk kerjasama erat kementerian saya bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) termasuk perancangan operasi pembenihan awan sebagai langkah mitigasi awal.
“Ini adalah langkah awal mitigasi kesan kemarau termasuk perancangan untuk operasi pembenihan awan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Mengulas lanjut, Dato Sri Julaihi berkata, bekalan elektrik di Sarawak ketika ini masih stabil dan mencukupi hasil sistem penjanaan tenaga yang pelbagai serta bersepadu meskipun negeri berdepan keadaan cuaca panas dan kering.
Menurutnya, Sarawak Energy akan terus memastikan sistem pengagihan elektrik berada dalam keadaan baik menerusi pemantauan berterusan, penaiktarafan transformer sekiranya diperlukan serta penyediaan mobile generator di kawasan berisiko mengalami gangguan bekalan.
Bagi bekalan air pula, beliau berkata, JBALB dan Sarawak Water telah menyediakan sebanyak 122 lori tangki air bagi menghantar bekalan ke kawasan terjejas akibat kemarau di seluruh Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Muhammad Rais Sanusi