Bantuan Sejahtera MADANI Perkukuh Agenda Membasmi Kemiskinan di Sri Aman & Pantu
SRI AMAN: Seramai 40 Ketua Isi Rumah (KIR) dari Daerah Sri Aman dan Pantu menerima Baucar Tunai bernilai RM500 setiap seorang menerusi Program Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa kebajikan rakyat dan menangani isu kemiskinan secara menyeluruh.
Program melibatkan peruntukan keseluruhan RM20,000 itu disempurnakan Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie pada Majlis Penyerahan Bantuan Inisiatif Sejahtera MADANI Skop Kebajikan 2026 di perkarangan sebuah pasar raya di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, penerima bantuan terdiri daripada 20 KIR dari Daerah Sri Aman dan 20 lagi dari Daerah Pantu yang berstatus miskin serta berdaftar dalam sistem eKasih.
"Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang diterajui oleh Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara.
"Ia juga secara tidak langsung menunjukkan tanda keprihatinan dan komited Kerajaan MADANI untuk membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pendekatan yang menyeluruh dan berfokus," katanya.
Tambah beliau, statistik sehingga Mei tahun ini menunjukkan seramai 1,374 individu dalam kategori miskin di Bahagian Sri Aman masih memerlukan perhatian dan sokongan berterusan.
Daripada jumlah tersebut, seramai 447 individu adalah dari Daerah Sri Aman, 154 dari Pantu, 239 dari Lingga dan 534 dari Lubok Antu.
Sehubungan itu, Dato Sri Doris berharap bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penerima untuk meningkatkan pendapatan keluarga serta memperbaiki taraf hidup masing-masing.
Menurutnya lagi, usaha membasmi kemiskinan memerlukan kerjasama pelbagai pihak agar lebih ramai rakyat dapat keluar daripada kelompok kemiskinan dan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.-EDISI UKAS