Sarikei Berpotensi Jadi Hab Pengeluaran Makanan Utama Sarawak
PAKAN: Sarikei berpotensi muncul sebagai pusat pengeluaran makanan utama di Sarawak berdasarkan kekuatan sektor pertanian yang terus berkembang di kawasan tersebut.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata, potensi itu selaras dengan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.
Menurutnya, bahagian Sarikei yang merangkumi daerah Sarikei, Meradong, Julau dan Pakan memiliki sumber serta kapasiti yang mampu menyokong pembangunan sektor agromakanan secara lebih menyeluruh.
Katanya, daerah Pakan khususnya telah lama dikenali sebagai kawasan pengeluaran pelbagai hasil pertanian termasuk sayur-sayuran, buah-buahan serta produk hiliran yang mempunyai nilai komersial tersendiri.
“Kelebihan yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan sekaligus membantu memperkukuh ekonomi masyarakat luar bandar,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Penutupan Agrofest 2026 di Pakan pada Sabtu.
Pada masa sama jelasnya, Kerajaan Sarawak terus memberi perhatian kepada pembangunan sektor pertanian melalui pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada pengusaha tani.
Katanya, antara bantuan yang disediakan termasuk sokongan input pertanian, latihan kemahiran serta kursus yang dilaksanakan secara berterusan bagi meningkatkan pengetahuan dan keupayaan petani.
Selain itu, usaha menaik taraf infrastruktur pertanian seperti jalan kebun turut dilaksanakan bagi memudahkan akses ke kawasan pengeluaran serta mempertingkatkan kecekapan aktiviti pertanian.
Tambah beliau, pendekatan pembangunan yang menyeluruh amat penting bagi memastikan sektor pertanian terus berkembang secara progresif, berdaya saing dan mampan.
“Dengan sokongan kerajaan serta komitmen berterusan para pengusaha tani, saya yakin Sarikei mampu memainkan peranan lebih besar dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negeri pada masa hadapan,” katanya.-EDISI UKAS