Sarawak Fokus Pertahan Kejuaraan SUKMA, Perkukuh Persiapan Sukan SEA 2027 - CEO SSC
KUCHING: Sarawak terus memberi komitmen untuk kekal sebagai kuasa sukan negara dengan memberi tumpuan kepada usaha mempertahankan gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) serta memperkukuh persiapan ke arah penganjuran Sukan SEA 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Mu’azamir Jili memberi komitmen tersebut dengan memberi fokus utama pada masa ini bagi memastikan segala persiapan menghadapi SUKMA di Selangor berjalan lancar memandangkan tempoh masa yang berbaki semakin singkat.
“Keutamaan saya sekarang ialah SUKMA kerana baki masa tidak panjang, namun saya melihat persiapan yang dibuat setakat ini sudah berada pada tahap yang baik.
“Apa yang penting ialah bagaimana saya dapat membantu meningkatkan lagi peluang Sarawak untuk mempertahankan kejuaraan,” katanya ketika ditemui media selepas sidang media Kejohanan Beregu Skuasy Asia Ketiga di Bangunan Baitulmakmur II, pada Isnin.
Beliau turut menegaskan bahawa persiapan Sarawak sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 akan diberikan perhatian serius bagi memastikan temasya sukan terbesar rantau ini dapat dianjurkan dengan jayanya.
Menurut Mu’azamir, reputasi Sarawak sebagai penganjur kejohanan sukan bertaraf antarabangsa kini berada pada tahap yang membanggakan dan perlu terus dipertahankan melalui penganjuran yang berkualiti serta pengurusan yang profesional.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) Pahang dari 2019 hingga 2025 berkata, kejayaan dalam bidang sukan memerlukan kerjasama erat melibatkan ibu bapa, persatuan sukan, jurulatih, atlet serta pentadbiran yang cekap dan berkesan.
Katanya, pembangunan atlet berprestasi tinggi bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan proses berterusan yang menuntut disiplin, pengorbanan dan sokongan padu daripada semua pihak.
Dalam masa sama, beliau bercadang mengadakan sesi libat urus bersama persatuan-persatuan sukan negeri dalam masa terdekat bagi mengenal pasti cabaran semasa serta merangka hala tuju baharu pembangunan sukan Sarawak.
Mu’azamir secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SSC dan Pengarah MSNS yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan beliau dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan kesinambungan agenda pembangunan sukan negeri serta memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai antara kuasa utama sukan negara. -EDISI UKAS