Sarawak Tuan Rumah 3rd Asian Doubles Squasy Championship 2026
KUCHING: Sarawak sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai destinasi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa apabila dipilih menjadi tuan rumah 3rd Asian Doubles Squasy Championship 2026 yang akan berlangsung dari 18 hingga 21 Jun ini di Pusat Skuasy Sarawak, Jalan Diplomatik, Kuching.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah untuk kali kedua berturut-turut mencerminkan keyakinan komuniti skuasy Asia terhadap kemampuan negeri ini dalam menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa.
Menurut beliau, kejohanan tersebut merupakan kali pertama Persatuan Raket Skuasy Sarawak (SRAS) diberi kepercayaan penuh untuk menjadi penganjur selepas kejayaan menganjurkan edisi 2025 bersama Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).
“Kejohanan ini boleh dianggap sebagai sebuah kejohanan yang cukup besar dengan penyertaan sembilan negara iaitu Taiwan, Hong Kong, India, Jepun, Korea, Malaysia, Pakistan, Singapura dan Thailand.
“Kejohanan ini akan mempertandingkan tiga kategori iaitu Beregu Lelaki, Beregu Wanita dan Beregu Campuran di mana pada tahun 2026, kami amat berbesar hati kerana sekali lagi diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah kejohanan ini,” katanya dalam sidang media di Bangunan Baitulmakmur pada Isnin.
Tambahnya, kejohanan ini akan menghimpunkan seramai 69 pemain dan 21 pegawai, sekali gus mempertemukan antara bakat terbaik skuasy beregu di benua Asia di mana penonton berpeluang menyaksikan aksi menarik dan persaingan sengit ketika para atlet berusaha merebut kejuaraan serantau.
Selain itu katanya, para peminat pastinya menantikan aksi beberapa pemain terbaik yang bakal beraksi dalam kejohanan ini.
Antaranya ialah pasangan dari India, Abhay Singh dan Velavan Senthilkumar yang kembali sebagai juara bertahan kategori Beregu Lelaki dan kekal sebagai antara pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan mereka.
“Bagi kategori Beregu Wanita, Joshna Chinappa akan kembali mempertahankan gelaran yang dimenanginya sebelum ini, namun kali ini beliau akan bergandingan dengan pasangan baharu berikutan ketiadaan Anahat Singh dalam skuad India tahun ini,” jelasnya.
Tambahnya lagi, Kategori Beregu Campuran juga dijangka berlangsung sengit dan kompetitif di mana pasangan juara bertahan Abhay Singh dan Anahat Singh tidak akan bergandingan semula pada tahun ini namun Abhay akan beraksi bersama pasangan baharu dalam usaha mempertahankan gelaran yang dimenanginya.
Justeru, beliau menjemput orang ramai, para peminat sukan serta komuniti setempat untuk hadir memberikan sokongan kepada para atlet sambil menyaksikan aksi skuasy bertaraf dunia itu nanti. -EDISI UKAS