SIBU: Orang ramai termasuk dari luar Sarawak dipelawa menyertai Program Sarawak Interior Experience: Ulu Entabai Edition 2026 yang akan berlangsung pada 24 hingga 25 Oktober depan bagi merasai sendiri pengalaman kehidupan masyarakat pedalaman di Ulu Entabai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, program anjuran Koperasi Bintang Tujuh Sarawak Berhad dengan kerjasama Kelab Sukan Bermotor Pacuan Empat Roda Peneresa Rampa Menua 4X4 itu akan diadakan di Rumah Sang, Rantau Chirey, Ulu Entabai.
Menurut beliau, program tersebut menjadi platform penting untuk memperkenalkan kawasan pedalaman yang selama ini kurang dikenali masyarakat luar, khususnya keunikan Rumah Sang serta komuniti rumah panjang di kawasan berkenaan.
“Melalui program ini, lebih ramai orang akan mengenali Ulu Entabai dan memahami keistimewaan yang terdapat di sini termasuk budaya, adat resam serta keindahan alam semula jadinya,” katanya ketika melancarkan program tersebut pada Ahad.
Beliau menambah, inisiatif berkenaan turut berpotensi membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat apabila lebih banyak rumah panjang dan komuniti pedalaman menerima kunjungan pelawat.
Jelas beliau, penyertaan program itu terbuka kepada semua dan tidak terhad kepada ahli Kelab Peneresa Rampa Menua 4X4 atau anggota Koperasi Bintang Tujuh Sarawak Berhad.
Katanya, peserta yang memiliki kenderaan pacuan empat roda boleh menggunakan kenderaan sendiri untuk ke lokasi program, manakala urusan pengangkutan bagi peserta lain boleh dibincangkan bersama pihak penganjur.
Program selama dua hari satu malam itu dijangka menarik lebih 1,000 peserta dan pengunjung dengan pelbagai tarikan termasuk makanan tradisional, hasil hutan, produk tempatan serta pengalaman unik kehidupan masyarakat pedalaman Sarawak.-EDISI UKAS