Agrofest 2026 Perkasa Jaringan Perniagaan Usahawan Tani Tempatan
PAKAN: Penganjuran Pakan Agrofest 2026 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menggalakkan pertumbuhan sektor pertanian yang lebih progresif, berdaya saing dan mampan di Sarawak.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata, Agrofest bukan sekadar platform pameran hasil pertanian, malah menjadi ruang untuk memperkenalkan inovasi, teknologi serta produk tempatan kepada pasaran yang lebih luas.
Menurut beliau, program berkenaan berjaya menghimpunkan petani, usahawan tani, pelabur, agensi kerajaan dan masyarakat dalam satu platform yang mampu merancakkan pembangunan industri agro makanan Sarawak.
Katanya, penyertaan pelbagai pihak dalam program tersebut mampu mewujudkan jaringan kerjasama strategik yang mampu meningkatkan daya saing perusahaan masing-masing.
“Program seperti ini membuka peluang kepada agropreneur untuk meneroka pasaran baharu, berkongsi idea serta menjalinkan kerjasama yang dapat membantu mengembangkan perniagaan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Pakan Agrofest 2026 di Pakan pada Ahad.
Tan Sri William berkata, penglibatan sektor swasta dan agensi berkaitan turut memberi manfaat kepada pengusaha tempatan melalui perkongsian maklumat, bimbingan serta peluang pelaburan dalam sektor pertanian.
Menurutnya, program seumpama itu juga mampu menarik lebih ramai individu, khususnya golongan belia untuk menceburi bidang agroindustri yang mempunyai potensi besar menjana pendapatan.
Katanya, penganjuran Agrofest selaras dengan tema ‘Innovating Agriculture for Food Security’ yang menekankan kepentingan inovasi dalam memperkukuhkan keterjaminan makanan negara.
Tambah beliau, usaha memperkasakan sektor pertanian perlu diteruskan bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Jaringan kerjasama yang terjalin sepanjang program ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang pasaran kepada produk tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Penganjuran Agrofest seterusnya dijadualkan berlangsung di Bahagian Sarawak Tengah, Bintulu sebagai kesinambungan usaha memperkukuhkan pembangunan sektor pertanian di seluruh Sarawak.-EDISI UKAS