RM9.29 Bilion Perkukuh Utiliti, Telekomunikasi Sarawak Di Bawah RMK-13
KUCHING: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan utiliti dan telekomunikasi terus diperkasa menerusi peruntukan berjumlah RM9.29 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta Alternative Funding bagi memperluas pembangunan infrastruktur strategik di seluruh negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kementeriannya bersama semua agensi di bawah seliaannya komited memastikan semua projek dilaksanakan secara cekap dan mengikut jadual agar rakyat dapat menikmati faedah yang disediakan sepenuhnya.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM5.3 billion di bawah RMK-13 (RM1.3 bilion) dan Alternative Funding (RM4 bilion) yang melibatkan keseluruhan projek bekalan air sebanyak 347 projek.
"Setakat ini, sebanyak 289 atau 83 peratus projek bekalan air telah siap dan bakinya dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
"Sejumlah RM597 juta telah diperuntukkan bagi tahun 2026 untuk melaksanakan projek sambungan bekalan air di bawah RM-13 dan Alternative
Funding," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Mengenai Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak, beliau memberitahu, jumlah permintaan air semasa di Sarawak adalah 2,300 juta liter sehari (JLH) dan unjuran permintaan air pada tahun 2030 adalah dianggarkan sebanyak 3,500 JLH.
Jelasnya, ini adalah merangkumi permintaan bekalan air untuk sektor domestik, komersial dan industri.
"Di Sarawak, penggunaan air bagi kategori domestik secara puratanya adalah sebanyak 266 liter sehari seorang iaitu kira-kira
31,920 liter seisi rumah sebulan.
"Sehubungan itu, bagi memastikan keterjaminan bekalan air di Sarawak secara holistik untuk jangka masa panjang, Kerajaan Sarawak sedang giat melaksanakan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak yang telah menunjukkan impak positif.
"Liputan bekalan air di kawasan luar bandar menunjukkan peningkatan daripada 71 peritus pada tahun lepas kepada 71.9 peratus setakat ini. Di kawasan bandar pula, kadar liputan adalah 99 peratus, menjadikan purata liputan keseluruhan di Sarawak meningkat daripada 85.6 peritus tahun lepas kepada 86.1 peratus sekarang," ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kementeriannya kini sedang giat membangunkan sistem grid bekalan air termasuklah muka sauk (water intake) , loji rawatan air, pemasangan saluran paip, tangki air simpanan, stesen pam penggalak dan komponen lain yang berkaitan selaras dengan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.
"Sistem grid bekalan air ini merentasi seluruh Sarawak yang dilaksanakan secara berperingkat akan menghubungkan Wilayah Selatan, Tengah dan Utara," jelasnya lagi.-EDISI UKAS