KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk membina lebih banyak kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) secara berperingkat di lokasi strategik seluruh negeri.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pembangunan infrastruktur tersebut turut memberi tumpuan kepada laluan utama dan kawasan berpotensi tinggi bagi menyokong pertumbuhan penggunaan kenderaan EV di Sarawak.
“Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Energy dan SEDC Energy juga mempunyai perancangan untuk membina EV charger (pengecas EV) di lokasi strategik secara berperingkat.
“Ini termasuk di sepanjang jajaran Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Pesisir Pantai dan Sarawak – Sabah Link Road (SSLR),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Dato Sri Julaihi memaklumkan, setakat April 2026, sebanyak 153 pengecas EV sedang beroperasi di seluruh Sarawak yang mana kebanyakan lokasinya tertumpu di bandar-bandar utama seperti Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.
Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Dato Miro Simuh ketika membahaskan ucapan penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak menekankan keperluan memperluaskan kemudahan pengecas EV terutama di kawasan luar bandar dan laluan antara bandar yang jauh.
Beliau berkata kekurangan infrastruktur pengecas menjadi antara faktor utama yang menimbulkan kebimbangan pengguna untuk memiliki kenderaan EV walaupun minat terhadap teknologi itu semakin meningkat.
Dalam cadangannya, beliau turut menggesa supaya lebih banyak stesen pengecas dibangunkan di sepanjang laluan Pan Borneo, pekan kecil, pusat beli-belah, hotel dan stesen minyak selain pemberian insentif kepada syarikat swasta yang membangunkan infrastruktur EV serta pelaksanaan pelan pembangunan rangkaian EV Sarawak secara menyeluruh.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Muhammad Rais Sanusi