Kerajaan Sarawak Gesa Pelaksanaan Persempadanan Semula Kerusi Pilihan Raya
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperjuangkan pelaksanaan segera kajian persempadanan baharu kerusi pilihan raya di negeri ini bagi memastikan perwakilan rakyat lebih adil dan selaras dengan realiti geografi serta keperluan pembangunan semasa.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, meskipun urusan persempadanan dan kajian semula sempadan pilihan raya adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerajaan kekal berharap agar kajian persempadanan tersebut dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
Jelasnya, isu ini perlu mengambil kira keperluan terhadap perwakilan yang adil dan berkesan untuk rakyat Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar negeri ini.
“Dalam hal ini, Kerajaan Sarawak secara konsisten telah menyuarakan pendirian dan aspirasi kepada Kerajaan Persekutuan mengenai kepentingan mempercepatkan pelaksanaan latihan persempadanan bagi Sarawak, termasuk menerusi platform perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Cadangan penambahan kerusi pilihan raya di Sarawak sebelum ini sering dibangkitkan susulan keluasan negeri, pertumbuhan penduduk serta cabaran penyampaian perkhidmatan di kawasan pedalaman yang memerlukan representasi lebih menyeluruh.
Bagaimanapun, Dato Sri John Sikie mengakui tempoh pelaksanaan kajian tersebut tertakluk kepada proses perlembagaan serta garis masa yang ditetapkan oleh SPR. -EDISI UKAS