BINTANGOR: Sambutan Pra Gawai Dayak bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi simbol kekuatan perpaduan rakyat Sarawak yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati antara pelbagai kaum.
Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi berkata, sambutan Hari Gawai bukan sahaja diraikan oleh masyarakat Iban, malah turut dikongsi bersama kaum lain seperti Melayu, Melanau, Bidayuh dan Cina dalam suasana penuh muhibah.
“Nilai perpaduan seperti itu perlu terus dipelihara kerana menjadi asas penting kepada keharmonian dan kestabilan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pra Gawai Dayak 2026 di Rumah Panjang Boniface Jaraw, Teluk Batu Baru, di sini, pada Isnin.
Dalam majlis sama, beliau turut menyempurnakan perasmian jalan kampung rumah panjang tersebut yang dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan penduduk setempat.
Hadir sama, Wakil Pegawai Daerah Meradong, Wee Teck Min, wakil Jabatan Kerja Raya Sarikei SOR Anatasya Saili, Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu N.45 Repok Hurairah Hanapi serta penghulu dan tuai rumah sekitar Teluk Bulat.-EDISI UKAS