Institusi Mahkamah Bumiputera Sarawak Terus Diperkukuh
KUCHING: Institusi Mahkamah Bumiputera Sarawak terus diperkukuh sebagai mekanisme penting dalam memelihara adat, tradisi serta keharmonian sosial masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, kerajaan komited memastikan institusi tersebut kekal relevan, cekap dan berkesan dalam menyampaikan keadilan kepada rakyat.
Menurut beliau, setakat April tahun ini, daripada keseluruhan 18,799 kes yang didaftarkan sejak 1992 melibatkan pelbagai kategori termasuk pelanggaran adat, kes sivil, permohonan pengesahan status bumiputera dan rayuan, sebanyak 14,505 kes atau 77 peratus telah berjaya diselesaikan.
“Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Mahkamah Bumiputera serta peningkatan keupayaan pemimpin masyarakat dan petugas mahkamah dalam mengurus pertikaian dengan lebih efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Beliau menambah, walaupun berdepan kekangan bilangan majistret di peringkat daerah dan residen, Mahkamah Bumiputera tetap melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dalam menangani peningkatan kes di seluruh Sarawak.
Katanya, bagi memperkukuh pentadbiran, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk program pembinaan kapasiti melibatkan Ketua Masyarakat, Ketua Kaum, kerani mahkamah dan petugas sokongan di daerah terpilih.
"Sejak 2025, sebanyak tujuh program pembinaan kapasiti telah dianjurkan melibatkan 329 peserta merangkumi pelbagai peringkat pentadbiran, selain 10 sesi libat urus di beberapa kawasan termasuk Kapit, Miri, Sibu dan Limbang yang melibatkan 172 peserta.
“Program ini memberi penekanan kepada pemahaman prosedur mahkamah, pengurusan rekod serta penggunaan sistem Mahkamah Bumiputera secara lebih sistematik,” jelasnya.-EDISI UKAS