Penyelenggaraan Paip Selepas Meter Utama Tanggungjawab Pemilik Premis
KUCHING: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Sarawak Water hanya bertanggungjawab terhadap sistem bekalan air sehingga ke meter utama pengguna.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pemasangan dan penyelenggaraan saluran paip selepas meter utama ke dalam premis adalah tanggungjawab pemilik premis, syarikat pengurusan atau jawatankuasa pengurusan masing-masing.
Menurutnya, penyelenggaraan itu termasuk sistem paip dalaman, tangki simpanan, pam serta kelengkapan berkaitan bagi memastikan agihan air sampai kepada pengguna.
"Perkara itu perlu difahami semua pihak bagi mengelakkan kekeliruan, termasuk isu kebocoran paip yang berlaku selepas meter utama di rumah, apartmen, rumah kedai, sekolah, hospital dan premis lain.
"Fakta inilah yang wajib difahami oleh semua pihak supaya tidak timbul kekeliruan pada masa hadapan,"tegasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Tambah Dato Sri Julaihi, berdasarkan perundangan Water Ordinance 1994 dan The Water Supply Regulations 1995, yang memberi punca kuasa untuk mentadbir urus sistem bekalan air di Sarawak, agensi bekalan air hanya dipertanggungjawabkan untuk menyediakan bekalan air terawat di Sarawak sehingga ke meter utama setiap premis.
Justeru, beliau meminta orang ramai agar tidak menyalahkan pihak JBALB atau Sarawak Water sekiranya berlaku kebocoran paip selepas meter utama di premis seperti rumah, apartmen, flat, rumah kedai, kem tentera, institusi pengajian tinggi, sekolah, hospital mahupun klinik. -EDISI UKAS