Kerjasama Sarawak-Singapura Bangunkan Koridor Tenaga Hijau Rentas Sempadan
SINGAPURA: Kerjasama strategik Kerajaan Sarawak dan Singapura dalam pembangunan koridor tenaga hijau rentas sempadan mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai hab tenaga hijau serantau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, melalui hubungan serantau yang kukuh, Sarawak kini melangkah ke hadapan bersama membina Asia Tenggara yang mampan dan saling berhubung.
Menurutnya, Sarawak sejak sekian lama membawa visi besar untuk menjadi ‘Bateri ASEAN’ dengan memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui bagi menjana masa depan yang lebih bersih untuk rantau ini.
“Hari ini, visi itu bukan lagi sekadar cita-cita. Dalam salah satu pelaksanaan awal Grid Kuasa ASEAN, kami sedang membangunkan koridor tenaga hijau yang menghubungkan dua wilayah.
“Hubungan serantau ini membolehkan tenaga elektrik bersih mengalir merentasi sempadan,” jelasnya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Sarawak and the Region: A Green Economy Being Built in Real Time’ semasa Philanthrophy Asia Summit 2026 di Sands Expo and Convention Centre, Marina Bay Sands, Singapura pada Isnin.
Tambah beliau, kerjasama berkenaan bukan sekadar melibatkan transaksi tenaga semata-mata, sebaliknya membentuk infrastruktur bersama yang mempunyai nilai strategik jangka panjang.
“Rangka kerja komersial, seni bina dasar serta asas teknikal semuanya sedang dibangunkan. Ini merupakan hubungan bekalan tenaga yang dibina antara dua ekonomi yang memahami kepentingan keselamatan tenaga dan peralihan ke arah sifar bersih.
“Saya melihatnya bukan sekadar transaksi, tetapi sebagai infrastruktur bersama. Apa yang sedang kita bina bersama — hubungan grid, sistem pensijilan, dan kepercayaan — mempunyai nilai yang melangkaui mana-mana perjanjian tenaga tunggal,” tambah beliau.
Menurutnya lagi, kerjasama dengan Singapura menjadi model kukuh kepada hubungan ekonomi hijau rantau Asia Tenggara yang akan membuka ruang kepada kerjasama lebih mendalam dalam pelbagai sektor baharu pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menegaskan filantropi pada hari ini tidak lagi diukur semata-mata melalui amal kebajikan, tetapi melalui keupayaannya untuk mencetuskan perubahan jangka panjang, menyokong inovasi, memperkukuh institusi, dan mempercepat penyelesaian yang mungkin mengambil masa lebih lama untuk disokong oleh pasaran semata-mata.
Di Sarawak katanya, ini termasuk memperkukuh ekosistem yang diperlukan bagi transformasi mampan — daripada penyelidikan dan pembangunan bakat kepada teknologi bersih, daya tahan komuniti, dan industri rendah karbon.
“Akhirnya, matlamat kami ialah pertumbuhan yang seimbang dan inklusif, di mana kerajaan, industri, akademia, dan sektor filantropi bekerjasama untuk membina masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya.
Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari sempat meluangkan masa sarapan pagi bersama Menteri Tenaga Manusia Singapura, Dr Tan See Leng.
Kesempatan tersebut digunakan oleh kedua pemimpin itu untuk bertukar pandangan dalam pelbagai perkara bagi mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua negara.
Selepas itu, Premier Sarawak mengadakan dua mesyuarat berprofil tinggi bersama pihak Temasek dan Equatic Inc.
Delegasi Temasek diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dilhan Pillay Sandrasegara serta kepimpinan kanan syarikat.
Manakala delegasi Equatic Inc diwakili Pengasas merangkap Ketua Pegawai Teknologi, Gaurav Sant dan Ahli Lembaga syarikat, Ryan Tan.
Beliau kemudiannya makan tengah hari bersama Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Trust, Desmond Kuek dan kepimpinan kanan syarikat. - EDISI UKAS