Elaun Ahli Majlis Adat Istiadat Sarawak Naik 100 Peratus Selepas 13 Tahun
KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan semakan elaun dan faedah Ahli Majlis Adat Istiadat Sarawak bagi sesi 2026 hingga 2029 sebagai penghargaan terhadap peranan penting mereka dalam memelihara, membangun dan menyebarluaskan adat masyarakat pribumi di negeri ini.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, semakan tersebut diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 16 April 2026 selepas kadar elaun berkenaan tidak pernah disemak sejak tahun 2013.
Menurut beliau, elaun bulanan Ahli Majlis kini dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 sebulan, melibatkan peningkatan sebanyak 100 peratus.
“Ahli Majlis juga layak menerima elaun mesyuarat sebanyak RM100 bagi setiap mesyuarat dengan kadar maksimum RM400 setahun,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Beliau turut memaklumkan bahawa Ahli Majlis kini menikmati kemudahan perubatan setara dengan skim faedah perubatan sedia ada yang dinikmati ketua masyarakat di Sarawak.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan kemudahan pakaian rasmi melibatkan sepasang lounge suit bernilai RM1,000 serta kemeja korporat bernilai RM200 sepanjang tempoh pelantikan tiga tahun mereka.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kelulusan semakan elaun dan faedah tersebut yang disifatkan sebagai langkah menghargai sumbangan Ahli Majlis kepada pembangunan adat dan warisan masyarakat pribumi Sarawak.
“Semakan ini memastikan Ahli Majlis menerima ganjaran yang adil dalam melaksanakan tugas rasmi mereka,” ujarnya.-EDISI UKAS