KUCHING: Sebanyak 58,992 saman bagi kesalahan trafik utama direkodkan di Sarawak dalam tempoh Januari hingga April 2026, dengan kes memandu melebihi had laju menjadi penyumbang tertinggi iaitu sebanyak 57,842 kes.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut merekodkan 327 kes menggunakan telefon bimbit ketika memandu, 255 kes melanggar lampu isyarat merah, 182 kes memotong garisan berkembar serta 386 kes memotong barisan.
Menurut beliau, angka tersebut mencerminkan keperluan mendesak untuk membudayakan pemanduan bertanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya di negeri ini.
“Kerajaan Sarawak menerusi kementerian saya terus bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak, PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak serta agensi berkaitan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif keselamatan jalan raya,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Beliau berkata, kempen kesedaran keselamatan jalan raya telah berjaya dilaksanakan di Sibu dan Miri sempena Tahun Baharu Cina, manakala Miri dan Bintulu menjadi lokasi kempen sempena Hari Raya Aidilfitri.
Tambah beliau, tiga lagi kempen akan diadakan bulan ini di Miri, Betong dan Samarahan bersempena sambutan Hari Gawai Dayak.
Dalam perkembangan berkaitan keselamatan kenderaan komersial, Lee berkata pelaksanaan penguatkuasaan berfasa Peranti Had Kelajuan (SLD) oleh JPJ kini memasuki Fasa 2 bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2026.
Katanya, fasa tersebut melibatkan pengaktifan SLD melalui Electronic Control Unit (ECU) bagi kenderaan komersial yang dikeluarkan sebelum 1 Januari 2015 termasuk kenderaan bina semula dan import terpakai.
“Fasa 3 pula bermula 1 Julai 2026 akan melibatkan pemasangan retrofit SLD yang diluluskan JPJ bagi kenderaan barangan dan penumpang dalam kategori ditetapkan,” jelas beliau.
Beliau menambah, mulai 1 Julai 2026, pemasangan SLD juga diwajibkan untuk semua kenderaan komersial yang menjalani pemeriksaan awal dan berkala di bawah Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM).
Keperluan itu melibatkan kenderaan kategori M3 termasuk bas ekspres dan bas persendirian melebihi 5,000 kilogram, selain kenderaan kategori N2 dan N3 yang melibatkan lori melebihi 3,500 kilogram.-EDISI UKAS