SDEC TFI Demo Day Perkasa Pengkomersialan Teknologi Tempatan
KUCHING: Program SDEC TechFrontier Incubator (TFI) Cohort 1 Demo Day menjadi platform kepada 15 pasukan berpotensi tinggi dalam bidang 'deep-tech' daripada sembilan universiti dan syarikat spin-off seluruh Malaysia mempamerkan pelbagai inovasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan Internet Pelbagai Benda (IoT).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, program tersebut mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan inovasi dan teknologi menerusi Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).
Menurut beliau, hasil penyelidikan dan inovasi teknologi tidak seharusnya hanya tersimpan di makmal atau dalam penerbitan akademik semata-mata, sebaliknya perlu diketengahkan untuk dikomersialkan demi manfaat ekonomi rakyat dan negara.
“Jika idea hanya disimpan dalam buku, penerbitan atau rak simpanan, ia tidak akan membawa sebarang manfaat.
“Kita mahu hasil penyelidikan ini diterjemahkan kepada inovasi yang boleh digunakan untuk membangunkan ekonomi, bukan sahaja ekonomi negeri tetapi juga ekonomi keluarga dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program SDEC TechFrontier Incubator (TFI) Cohort 1 Demo Day di Hotel Grand Magherita Kuching, pada Selasa.
Pasukan yang mengambil bahagian terdiri daripada penyelidik dan inovator dari i-CATS University College, Swinburne University of Technology Sarawak Campus, Curtin University Malaysia, University of Technology Sarawak (UTS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak dan Shah Alam, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Antara sektor yang berpotensi menerima manfaat daripada teknologi yang diketengahkan termasuk pertanian, utiliti, pembuatan makanan, keselamatan awam, perindustrian, pembinaan, penjagaan kesihatan, tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan.
Dalam program tersebut, tiga pasukan diumumkan sebagai pemenang utama iaitu HSE Ranger dari University of Technology Sarawak (UTS), RentVerse oleh Metairflow Sdn Bhd serta Putra Agrotech dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Selain itu, RentVerse oleh Metairflow Sdn Bhd turut menerima peluang potensi pelaburan sehingga RM250,000 daripada firma modal teroka, Nexea.
TFI yang merupakan program utama di bawah inisiatif Tech to Impact SDEC diwujudkan bagi membantu penyelidik peringkat awal dan pertengahan mengubah hasil penyelidikan deep-tech kepada penyelesaian sedia pasaran.
Sepanjang tempoh enam bulan pelaksanaan program, semua pasukan menjalani 10 bengkel intensif dan program pembangunan yang memberi penekanan kepada aspek pengkomersialan, pendedahan keusahawanan serta pemahaman pasaran bagi mempercepatkan proses membawa teknologi dari makmal ke pasaran.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis serta Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman.- EDISI UKAS