Sarawak Perkukuh Peranan Belia Di Peringkat Antarabangsa
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh peranan dan penglibatan belia di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif pemerkasaan yang memfokuskan pembangunan mampan, kepimpinan dan jaringan serantau.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, antara inisiatif utama tahun ini ialah penganjuran SSEAYP International Conference (SICO) Borneo 2026 yang berlangsung dari 30 Januari hingga 1 Februari lalu di Kuching.
Menurut beliau, persidangan tersebut berjaya menghimpunkan 350 pemimpin belia dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura untuk membincangkan pelbagai isu termasuk pembangunan mampan, inovasi, kecerdasan buatan, integriti dan peluang ekonomi belia.
"Dalam meneruskan komitmen Sarawak terhadap kelestarian dan kepimpinan alam sekitar, seramai 300 belia tempatan akan menyertai Rainforest Youth Summit (RAYS) 2026 bersama belia ASEAN lain yang dijemput dari 24 hingga 26 Jun bersempena Rainforest World Music Festival.
"Bertemakan 'Youth: Many Ways, One Planet' sidang kemuncak tersebut bertujuan memupuk kesedaran alam sekitar dan memperkasa pemimpin belia untuk memperjuangkan pembangunan mampan demi generasi masa hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Selain itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, kementerian saya turut memperkukuh program belia berasaskan komuniti dan akar umbi seperti Juh Berambeh Sungkey di Kuching dan Asajaya serta Imarah Belia Ramadan di Lundu, Sibu dan Mukah.
Menurutnya, inisiatif tersebut menghimpunkan lebih 6,000 peserta dan menjadi platform penting dalam memupuk perpaduan, kesukarelawanan, inklusiviti dan rasa hormat antara persatuan belia, pemimpin komuniti dan organisasi tempatan.
Selaras dengan komitmen tersebut, beliau memberitahu, beberapa lagi inisiatif turut dirancang tahun ini iaitu Jelajah Belia Sarawak, Eksplorasi Belia, Program Integrasi Belia Sarawak-Johor-Sabah-Melaka dan Belia Kasih Belia Sayang. -EDISI UKAS