Sarawak Rekod 1.24 Juta Pelawat Pada Suku Pertama 2026
KUCHING: Industri pelancongan Sarawak terus menunjukkan momentum positif apabila merekodkan 1.24 juta ketibaan pelawat bagi suku pertama tahun 2026.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 4.5 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Menurutnya, Asia kekal menjadi penyumbang utama ketibaan pelawat ke Sarawak dengan 52.6 peratus daripada keseluruhan pelawat direkodkan sepanjang tempoh tersebut.
“Asia kekal sebagai sumber utama pelawat Sarawak, menyumbang 52.6 peratus daripada jumlah pelawat dan aripada jumlah ini, 48.8 peratus adalah dari negara-negara ASEAN.
“Sementara itu, pelancongan domestik terus memacu industri pelancongan kita ke hadapan, menyumbang 45.0 peratus dalam tempoh tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim berkata, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, negeri ini berjaya menjana RM3.15 bilion hasil pelancongan.
Beliau menambah, kerajaan negeri menyasarkan ketibaan lima juta pelawat tahun ini sekali gus menjana kira-kira RM12.73 bilion hasil pelancongan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Muhammad Rais Sanusi