Muzium dan Galeri Sarawak Catat Peningkatan 5.95 Peratus Pengunjung
KUCHING: Muzium dan galeri di seluruh Sarawak terus mencatat perkembangan positif apabila merekodkan peningkatan 5.95 peratus jumlah pengunjung setakat tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketika ini sebanyak 20 muzium dan galeri aktif di seluruh negeri telah menerima lebih 130,000 pengunjung.
“Pada masa ini, kami mempunyai 20 muzium dan galeri aktif di seluruh Sarawak.
“Muzium dan galeri ini telah mencatatkan lebih 130,000 pengunjung setakat ini, peningkatan sebanyak 5.95 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Dato Sri Abdul Karim memaklumkan, antara tarikan terbaharu ialah Santubong Archaeological Park dan Wallace Centre yang dilancarkan pada 4 Oktober 2025 dan merekodkan lebih 14,000 pengunjung setakat April tahun ini.
Selain itu, katanya, Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum yang mula dibuka kepada umum pada 21 April lalu turut menerima 19,603 pengunjung setakat ini.
Tambah beliau, Muzium Budaya Borneo terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama Sarawak apabila menerima hampir 70,000 pengunjung antara Januari hingga April 2026.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Muhammad Rais Sanusi