Pembangunan Tanah NCR Diperkasa, 953,373 Hektar Dimajukan Untuk Pertanian Komersial
KUCHING: Pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) terus diperkasa sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri khususnya dalam memperkukuh sekuriti makanan dan meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar di Sarawak.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kerajaan komited membangunkan tanah NCR yang terbiar atau kurang dimanfaatkan secara produktif dan mampan, tanpa menjejaskan hak serta kepentingan pemilik tanah.
Menurut beliau, sehingga kini seluas 953,373 hektar tanah NCR telah dimajukan untuk pertanian komersial berskala besar melalui pelbagai pendekatan melibatkan agensi seperti SALCRA, LCDA, SLDB, FELCRA dan RISDA, selain penyertaan syarikat swasta serta petani individu.
“Pembangunan ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam mengoptimumkan penggunaan tanah NCR bagi menjana nilai ekonomi yang lebih tinggi kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Beliau menambah, pengurusan pembangunan tanah NCR dilaksanakan secara holistik dengan mengambil kira aspek perundangan, ekonomi, sosial, alam sekitar serta tadbir urus bagi memastikan manfaatnya menyeluruh dan berpanjangan.
Dalam memastikan pelaksanaan yang teratur, setiap permohonan pembangunan dinilai melalui Jawatankuasa Sehenti (OSC) bagi kawasan di bawah 100 hektar, manakala kawasan melebihi keluasan tersebut diselaraskan oleh Pasukan Petugas Negeri.
Pada masa sama, syarikat swasta yang berminat melabur dalam pembangunan tanah NCR perlu melalui proses penilaian ketat bagi memastikan mereka mempunyai kredibiliti, kepakaran teknikal serta keupayaan kewangan.-EDISI UKAS