67 Peratus Daerah di Sarawak Kini Dilengkapi Kompleks Sukan
KUCHING: Usaha kerajaan Sarawak memperluas akses kemudahan sukan di seluruh negeri terus menunjukkan kemajuan positif apabila 67 peratus daerah kini mempunyai sekurang-kurangnya satu kompleks sukan menerusi inisiatif “One District, One Sports Complex”.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setakat ini sebanyak 30 daripada 45 daerah di Sarawak telah dilengkapi kemudahan kompleks sukan bagi menyokong pembangunan komuniti serta aktiviti sukan setempat.
“Kementerian saya kekal komited terhadap inisiatif “Satu Daerah, Satu Kompleks Sukan” untuk memastikan akses saksama kepada kemudahan sukan di seluruh Sarawak.
“Setakat ini, Kementerian saya telah mencapai kira-kira 67 peratus daripada sasaran ini, dengan 30 daripada 45 daerah di Sarawak kini dilengkapi dengan sekurang-kurangnya satu kompleks sukan untuk menyokong aktiviti komuniti dan sukan,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim memaklumkan kementeriannya turut merancang membangunkan lebih banyak kompleks sukan di seluruh negeri sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan kerjasama agensi pembangunan wilayah.
Menurut beliau, pembangunan kemudahan sukan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat setempat malah berupaya meningkatkan produktiviti sosial dan ekonomi negeri melalui penglibatan aktif komuniti dalam aktiviti riadah dan sukan. -EDISI UKAS