95 Tahun SK Holy Name Bukti Komitmen Pendidikan Luar Bandar Terus Diperkasa
LUNDU: Sambutan Ulang Tahun Ke-95 Sekolah Kebangsaan (SK) Holy Name di sini berlangsung meriah pada Ahad, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan institusi pendidikan luar bandar itu dalam membentuk generasi berilmu dan berdaya saing sejak hampir satu abad lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, pendidikan merupakan asas utama pembangunan masyarakat dan perlu diperkukuh seiring usaha menaik taraf infrastruktur sekolah demi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif.
Menurut beliau, sekolah bukan sekadar tempat menimba ilmu, malah memainkan peranan penting dalam pembentukan modal insan dan masa depan masyarakat setempat.
“Pembangunan sesebuah masyarakat perlu bermula melalui pendidikan dan pembentukan nilai dalam kalangan anak-anak sejak usia muda,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada warga sekolah, guru, ibu bapa serta alumni yang telah menyumbang kepada pembangunan SK Holy Name sejak penubuhannya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh keperluan menambah baik beberapa kemudahan sekolah yang memerlukan perhatian bagi memastikan kebajikan dan keselesaan warga sekolah terus terpelihara.
Sementara itu, Bishop Gereja Anglican Sarawak Datuk Donald Jute dan Guru Besar SK Holy Name, Albert Bujon turut hadir memeriahkan sambutan tersebut.
Majlis berkenaan turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat dalam usaha memastikan kecemerlangan SK Holy Name terus diperkasakan pada masa hadapan.-EDISI UKAS