RM450 Juta Perkukuh Infrastruktur Luar Bandar, Manfaat 30,000 Petani Sarawak
KUCHING: Pelbagai projek infrastruktur pertanian dan perumahan rakyat oleh kerajaan negeri akan memberi manfaat langsung kepada lebih 30,000 petani serta komuniti luar bandar di seluruh negeri.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sepanjang 8,500 kilometer jalan ladang berjaya dibina selain 3.0 kilometer jalan luar bandar dan 8.83 kilometer projek perlindungan sungai serta pantai.
Menurut beliau, pembangunan sistem saliran dan pengairan turut dilaksanakan melibatkan kawasan pertanian seluas 3,000 hektar bagi meningkatkan produktiviti dan daya tahan sektor pertanian.
“Kesemua inisiatif ini melibatkan nilai keseluruhan RM450 juta dan memberi manfaat secara langsung kepada 30,000 petani serta komuniti luar bandar melalui peningkatan jaringan perhubungan, perlindungan sumber pendapatan dan pengukuhan daya tahan terhadap cabaran alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebanyak RM438 juta turut diperuntukkan kepada kementeriannya bersama GIATMARA dan FELCRA Bina bagi pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
Katanya, sehingga tahun ini, lebih 2,300 daripada 2,900 rumah di bawah program Bina Baharu telah siap dibina, manakala 11,200 daripada 12,300 rumah di bawah program Baik Pulih berjaya disiapkan.
“Baki rumah yang masih belum siap kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan,” jelasnya.
Tambah Dato Sri Dr Stephen, penekanan berterusan terhadap aspek kelestarian, inovasi teknologi, pemprosesan nilai tambah dan pengembangan eksport diyakini mampu memperkukuh sekuriti makanan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi jangka panjang Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ibanez Jeffery