Breaking News Run 2.0 Perkukuh Budaya Hidup Sihat, Eratkan Hubungan Media & Komuniti
KUCHING: Penganjuran program larian malam Breaking News Run 2.0 dilihat sebagai platform signifikan dalam memupuk budaya hidup sihat selain memperkukuh hubungan antara pengamal media dan masyarakat.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, edisi kedua program itu menunjukkan perkembangan positif dengan sasaran penyertaan sekitar 1,200 peserta, sekali gus mencerminkan sambutan memberangsangkan terhadap aktiviti larian di negeri ini.
Menurut beliau, trend penganjuran acara larian termasuk maraton dan separuh maraton semakin berkembang di Sarawak, selaras dengan usaha membudayakan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat.
“Program ini bukan sahaja mempromosikan kesihatan fizikal dan mental, malah menjadi medium untuk merapatkan hubungan antara pengamal media dan orang awam,” katanya dalam sidang media Breaking News Run 2.0 pada Selasa.
Acara tersebut dianjurkan oleh Commonwealth Journalists Association (CJA) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Kuching Division Journalists Association (KDJA), serta mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk kementerian berkaitan, sektor korporat dan agensi tempatan.
Antara pengisian utama ialah larian malam melibatkan dua kategori iaitu 7 kilometer (km) dan 3km, yang dijangka disertai pengamal media, petugas kesihatan, peminat kecergasan serta orang awam.
Mengulas lanjut, beliau berkata laluan larian akan melalui beberapa lokasi ikonik di bandar raya Kuching yang diterangi cahaya malam, sekali gus memberi pengalaman berbeza kepada peserta sambil menikmati transformasi landskap bandar yang semakin menarik.
Selain itu, peserta turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk telefon bimbit, keahlian gimnasium, kasut dan jam larian serta penginapan hotel.
Program tersebut turut menampilkan elemen unik menerusi pilihan reka bentuk baju berdasarkan tema pasukan bola sepak antarabangsa, sebagai nilai tambah kepada peserta.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang, Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng serta wakil agensi dan penaja yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.-EDISI UKAS