Penyelarasan SEED Ke Tiga Lokasi Baharu Pacu Lahir Usahawan Muda Berdaya Saing
KUCHING: Fasa penyelarasan strategik program ‘Sarawak Emerging Entrepreneurs Drive’ (SEED) ke tiga lokasi baharu iaitu Sibu, Mukah dan Miri akan memperkukuhkan lagi usaha kerajaan negeri melahirkan generasi usahawan muda yang lebih kompetitif dan bersedia menembusi pasaran lebih luas.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program berkenaan sebelum telah berjaya dilaksanakan di Kuching, Samarahan dan Betong, melibatkan 100 usahawan muda yang menerima manfaat dalam bentuk ‘mentoring’ perniagaan, ‘coaching’ pembangunan strategi serta peluang jaringan industri.
“Susulan kejayaan yang menggalakkan serta maklum balas positif yang diterima, kementerian saya akan memperluaskan program ini ke Sibu, Mukah dan Miri bagi memastikan lebih ramai belia mendapat manfaat daripada inisiatif keusahawanan tersebut,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Menurutnya lagi, inisiatif ini akan memperkasa ekosistem keusahawanan belia melalui pendekatan lebih inklusif, dengan memberi akses bimbingan berstruktur, latihan intensif serta pendedahan pasaran kepada lebih ramai peserta di seluruh Sarawak.
Menyentuh kejayaan program pembangunan usahawan yang lain, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, Program BeliaGoBiz yang berlangsung di Samarahan dari 8 hingga 10 Mei 2026 berjaya menarik lebih 400 peserta dengan pelbagai pengisian termasuk kursus keusahawanan, pameran agensi, aktiviti sukan, karnival jualan, pertandingan bakat serta sesi perkongsian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Antara lain program di bawah Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) ialah Program Pemasaran Viral Melalui Video AI, ‘Sarawak Youth Startup’ (SYstartUP), ‘Youth Entrepreneur Setup’ (YES) dan ‘Sarawak Youth Business Idea Competition’ (SaYBIC). -EDISI UKAS