KUCHING: Keperluan terhadap pembangunan dan naik taraf jalan ladang di Sarawak terus meningkat apabila sebanyak 841 projek melibatkan jarak keseluruhan 3,428 kilometer dengan anggaran kos RM347 juta masih menanti kelulusan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata, jumlah permohonan yang diterima ketika ini jauh melebihi projek yang telah diluluskan dan kementeriannya menjangkakan lebih banyak permohonan akan diterima dari semasa ke semasa.
“Namun, ini masih jauh daripada jumlah keseluruhan permintaan yang diterima kementerian saya iaitu sebanyak 841 projek jalan ladang melibatkan 3,428 kilometer dengan anggaran kos projek RM347 juta dan kami menjangkakan lebih banyak permohonan akan diterima selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, permintaan tinggi terhadap pembinaan jalan ladang membuktikan infrastruktur tersebut kekal menjadi keutamaan komuniti pertanian luar bandar dalam memperkukuh jaringan perhubungan antara kawasan pengeluaran dengan pasaran.
Tambahnya, kemudahan jalan ladang yang lebih baik bukan sahaja membantu mengurangkan kos pengangkutan dan kehilangan hasil selepas tuaian, malah memudahkan pergerakan komuniti pertanian serta mempercepat akses ke kawasan pengeluaran.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sebanyak RM103.3 juta telah diluluskan oleh kerajaan Sarawak dan Persekutuan bagi melaksanakan lebih 300 projek jalan ladang merangkumi lebih 1,900 kilometer sepanjang tahun 2026.
Menurut beliau, pelaksanaan projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 18,000 petani di seluruh Sarawak selain merangsang pertumbuhan ekonomi luar bandar serta menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor pertanian dan agro makanan.
Pembangunan berterusan infrastruktur jalan ladang itu diyakini mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar sekali gus memperkukuh agenda pembangunan sektor agro makanan Sarawak secara menyeluruh. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Ibanez Jeffery