44 Pasukan Dari Lima Negara Berentap Dalam Sarawak International Open Dragon & Lion Dance Cup 2026
KUCHING: Sebanyak 44 pasukan dari lima negara bakal berentap dalam Sarawak International Open Dragon & Lion Dance Cup 2026 (SOIDLDC 2026) yang akan berlangsung pada 8 hingga 9 Ogos ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan budaya dan sukan bertaraf antarabangsa.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan yang memasuki edisi ketiga itu akan berlangsung di Ang Cheng Ho Quarry Multi-Purpose Hall, Batu Kawa dan menghimpunkan penyertaan dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei serta China.
Menurut beliau, mereka akan bersaing dalam empat kategori iaitu Northern Lion Dance, High Pole Southern Lion Dance, Traditional Dragon Dance dan Luminous Dragon Dance.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Sarawak International Open Dragon & Lion Dance Cup 2026 di Bangunan Baitul Makmur II, di sini, pada Khamis.
Tambah beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, kejohanan anjuran Chinese Martial Art Association (CMAA) yang diiktiraf oleh Dragon & Lion Dance Federation of Malaysia serta disokong oleh kementeriannya itu bukan sahaja mempamerkan kehebatan seni tarian naga dan singa, malah menjadi platform memperkenalkan kekayaan warisan budaya Sarawak kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Katanya, orang ramai juga berpeluang menyaksikan persembahan juara dunia Luminous Dragon Dance dari Johor serta juara bertahan High Pole Southern Lion Dance dari China, sekali gus menjadikan saingan kali ini lebih sengit.
Jelasnya, kejohanan itu turut menyokong usaha kerajaan negeri dalam memupuk bakat tempatan, memelihara warisan budaya serta menyumbang kepada pertambahan pelancong ke Sarawak tahun ini.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Mia Amira Jalil