Reformasi Pendidikan Sarawak Perlu Dipacu STEM, Lahirkan Modal Insan Bertaraf Global
SIBU: Reformasi pendidikan di Sarawak perlu dipacu berteraskan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi melahirkan modal insan bertaraf global yang mampu menerajui ekonomi masa depan serta menangani cabaran perubahan iklim dan kemajuan teknologi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak memiliki kekuatan sumber semula jadi yang besar, namun kelebihan tersebut hanya mampu dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya negeri ini mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menguasai teknologi baharu.
Menurut beliau, perubahan landskap ekonomi dunia dan cabaran perubahan iklim menuntut penyelesaian berasaskan sains, teknologi dan inovasi, justeru generasi muda Sarawak perlu dipersiapkan dengan ilmu serta kemahiran yang relevan.
“Kita hendaklah membentuk anak Sarawak yang kenal kepada teknologi baharu untuk kita menyesuaikan dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi kita.
“Untuk kita menguruskan ekonomi kita, kita memerlukan banyak anak-anak kita yang mempunyai latar belakang berkait dengan disiplin yang sangat sesuai pada hari ini iaitu berkisar kepada STEM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak Ke-61 Tahun 2026 bertemakan ‘Memacu Reformasi Pendidikan: Sinergi Kepimpinan dan Nilai Manusiawi’ di sini pada Khamis.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, bagi menyokong agenda itu, Kerajaan Sarawak melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) dan STEM bagi meningkatkan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
Beliau turut menyifatkan penubuhan Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) sebagai platform penting untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar terhadap pelbagai bidang sains dan teknologi, termasuk tenaga hidrogen, teknologi aeroangkasa serta penghasilan tenaga melalui sumber air.
Menurutnya, pusat itu turut dilengkapi kemudahan asrama bagi membolehkan pelajar dari kawasan luar bandar mengikuti program pembelajaran di situ.
Beliau berkata, pendedahan awal kepada teknologi moden mampu membuka ruang kepada pelajar luar bandar menguasai bidang berteknologi tinggi.
“Saya tidak sangka bahawa anak-anak kita dari pedalaman, termasuk anak Penan, boleh menguruskan dron secara remote control.
“Ini membuktikan bahawa kalau kita beri pendedahan kepada anak kita lebih awal, maka mereka dapat menguasai disiplin-disiplin yang bagus,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, kecerdasan buatan (AI) juga perlu dimanfaatkan sebagai alat untuk memperkasa pembelajaran, namun pengguna perlu mempunyai pengetahuan bagi menggunakannya secara berkesan.
“AI ini membantu kita. Hanya orang yang ada ilmu sahaja yang tahu proses Artificial Intelligence dan dia mestilah cukup bijak untuk memanfaatkan AI.
“Inilah dunia kita, era kita. Yang terpenting daripada AI adalah dalam hubungannya dengan apa yang disebut sebagai Large Language Model (LLM), yang menjadi perantara antara pengguna dengan AI,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pengajian Tinggi dan Inovasi), Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Abdul Rahman Junaidi, Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli, Yang Dipertua Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak merangkap Pengetua SMK St Augustine, Ujai Sambau serta Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Lau Ngie Tung.-EDISI UKAS