PITC 2026 Perkukuh Pembangunan Tenis, Pacu Pelancongan Sukan Sarawak
KUCHING: Penganjuran 3rd PTBS Invitational Tennis Classic (PITC) 2026 bukan sahaja menjadi platform memperkukuh pembangunan sukan tenis di Sarawak, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan sukan serta merancakkan ekonomi tempatan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Kerajaan Sarawak terus komited menyokong penganjuran kejohanan sukan berprestij, termasuk dalam pembangunan atlet, pengukuhan industri pelancongan sukan serta meningkatkan reputasi Sarawak sebagai destinasi penganjuran acara sukan bertaraf serantau dan antarabangsa.
Menurut beliau, kejohanan yang akan berlangsung dari 6 hingga 9 Ogos 2026 di Gelanggang Tenis PTBS dan Gelanggang Tenis Kelab Golf Sarawak itu dijangka menghimpunkan kira-kira 200 atlet serta 300 penonton dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Indonesia.
Bercakap dalam sidang media di sini pada Khamis, beliau menambah, kejohanan edisi kali ini menggunakan format berpasukan melibatkan empat kategori beregu mengikut kumpulan umur dengan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM17,000, termasuk hadiah utama RM6,000 kepada pasukan juara.
Tambah beliau, penyertaan pasukan dari Samarahan, Sibu, Mukah, Bintulu serta PTBS sendiri mencerminkan perkembangan positif bakat tenis di seluruh Sarawak hasil usaha pembangunan akar umbi yang dilaksanakan secara berterusan.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Tenis Bumiputera Negeri Sarawak (PTBS), jawatankuasa penganjur, penaja, sukarelawan dan semua pihak yang menjayakan kejohanan tersebut.
Beliau juga berharap PITC 2026 bukan sahaja melahirkan juara di gelanggang, malah terus mengukuhkan semangat kesukanan, persahabatan serantau serta menjadi inspirasi kepada generasi baharu pemain tenis di Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Mia Amira Jalil