Raptai Penuh Lancar, PBB Zon Betong Perkemas Persiapan Menjelang Konvensyen Khas
BETONG: Persiapan menjelang Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Betong memasuki fasa akhir apabila raptai penuh berlangsung dengan lancar di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, pada Khamis.
Raptai tersebut disempurnakan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang turut meninjau sendiri persiapan akhir bagi memastikan kelancaran perjalanan konvensyen yang bakal menghimpunkan kepimpinan dan ahli-ahli PBB dari Zon Betong.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Dato Razaili Gapor, ADUN Kalaka Mohamad Duri, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, serta ADUN Kabong Dato Mohd Chee Kadir.
Raptai penuh berkenaan melibatkan penyelarasan keseluruhan perjalanan majlis termasuk protokol, atur cara, sistem audio visual, persembahan serta aspek teknikal bagi memastikan setiap segmen dapat dilaksanakan dengan teratur dan mengikut perancangan.
Kira-kira 350 peserta yang terdiri daripada jawatankuasa penganjur, petugas dan sukarelawan turut terlibat dalam raptai tersebut sebagai persediaan terakhir sebelum konvensyen berlangsung.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijadual hadir pada Sabtu bagi majlis perasmian konvensyen khas itu.-EDISI UKAS