Jambatan RM20.035 Juta Bakal Tingkat Akses Kampung Ranchak ke Bandar Bintangor
BINTANGOR: Pembinaan Jambatan Kampung Ranchak bernilai RM20.035 juta dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan jaringan perhubungan antara Kampung Ranchak dan Bandar Bintangor, sekali gus memudahkan mobiliti penduduk serta merancakkan pembangunan sosioekonomi di kawasan Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bersama pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei telah mengadakan lawatan ke tapak pembinaan jambatan tersebut pada Khamis bagi meninjau perkembangan pelaksanaan projek berkenaan.
Lawatan tersebut bertujuan mendapatkan maklumat terkini mengenai status pelaksanaan projek tersebut yang bermula 10 April 2026 hingga 9 April 2028, termasuk perkembangan kerja-kerja pembinaan di tapak serta perkara-perkara berkaitan yang melibatkan kepentingan penduduk setempat.
Menurut Datuk Ding, pembinaan jambatan itu bukan sahaja akan meningkatkan akses perhubungan antara Kampung Ranchak dan Bandar Bintangor, malah dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan berkenaan.
Beliau turut menegaskan kepentingan memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan dengan memberi perhatian terhadap aspek kualiti pembinaan, keselamatan serta keperluan penduduk sepanjang tempoh pelaksanaan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama erat antara JKR, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat amat penting bagi memastikan projek infrastruktur tersebut dapat disiapkan dengan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka panjang.-EDISI UKAS