Kesedaran Awam, Vaksinasi Haiwan Diperkasa Capai Sifar Kematian Rabies 2030
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh usaha membendung rabies menerusi peningkatan kesedaran awam, peluasan vaksinasi haiwan serta pengukuhan tindakan pencegahan bagi merealisasikan sasaran sifar kematian akibat rabies menjelang tahun 2030.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata, tahap kesedaran masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) selepas digigit atau dicakar haiwan masih perlu dipertingkatkan khususnya melibatkan tindakan mendapatkan rawatan segera dan melengkapkan dos vaksin anti-rabies.
“Tahap kesedaran masyarakat terhadap SOP termasuk mendapatkan rawatan segera selepas digigit serta melengkapkan keseluruhan dos vaksin anti-rabies selepas terdedah masih perlu dipertingkatkan kerana ia kekal menjadi cabaran utama dalam mencapai sasaran sifar kematian menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, usaha membendung rabies turut diperkasa menerusi pemantauan berterusan terhadap penularan penyakit itu dalam kalangan haiwan terutama melibatkan anjing bebas berkeliaran dan tidak divaksin.
“Meskipun kadar positif rabies dalam kalangan haiwan menunjukkan penurunan daripada 42.7 peratus pada 2018 kepada sekitar enam peratus pada 2025, rantaian jangkitan masih belum dapat diputuskan sepenuhnya.
“Sehingga kini, Sarawak merekodkan sebanyak 94 kes rabies manusia dengan 87 kematian termasuk empat kematian yang dicatatkan pada tahun ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan Sarawak menyasarkan vaksinasi sebanyak 50,000 ekor anjing tahun ini bagi mencapai kadar imuniti kelompok yang disyorkan sebanyak 70 peratus.
Menurutnya, pasukan Veterinar Bergerak akan terus digerakkan khususnya di kawasan bandar dan berisiko tinggi bagi memperluaskan akses vaksinasi, meningkatkan penguatkuasaan pemilikan haiwan secara bertanggungjawab serta memperkukuh penglibatan komuniti. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Ibanez Jeffery