Komoditi Sarawak Catat Prestasi Kukuh, Eksport Sawit Cecah RM5.93 Bilion
KUCHING: Sektor komoditi Sarawak terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila industri sawit negeri merekodkan nilai eksport mencecah RM5.93 bilion bagi tempoh Januari hingga April 2026 sekali gus mencerminkan momentum pertumbuhan positif sektor tersebut.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) meningkat sebanyak 5.3 peratus kepada 1.33 juta tan berbanding 1.27 juta tan dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurut beliau, pengeluaran minyak isirung sawit mentah (CPKO) turut menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 20.4 peratus daripada 112,217 tan kepada 135,137 tan.
“Prestasi ladang juga bertambah baik apabila purata hasil tandan buah segar (FFB) meningkat daripada 4.6 tan sehektar kepada 4.7 tan sehektar, manakala kadar perahan minyak (OER) meningkat daripada 19.1 peratus kepada 19.7 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata industri getah Sarawak turut diperkasa menerusi pelbagai inisiatif baharu termasuk penggunaan sistem torehan moden “Punching” yang berjaya meningkatkan produktiviti daripada 0.2 kilogram kepada 1.5 kilogram bagi setiap pokok sebulan.
Menurut beliau, Lembaga Industri Getah Sarawak (SARIB) juga berjaya menyatukan 1,000 hektar ladang getah melalui kerjasama bersama pekebun kecil dan sektor swasta sekali gus menjana pendapatan kira-kira RM400,000 kepada peserta sejak Oktober 2025.
Sementara itu, sektor sagu dan nipah terus menunjukkan perkembangan positif apabila eksport kanji sagu Sarawak bagi tempoh Januari hingga Mac 2026 mencecah 7,000 tan metrik bernilai RM20 juta manakala eksport gula apong meningkat kepada 25,000 kilogram bernilai RM272,000.
Pada masa sama, industri koko Sarawak turut merekodkan peningkatan pengeluaran kepada 13 tan metrik bernilai RM201,500 pada suku pertama 2026 berbanding 10 tan metrik dalam tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sejumlah RM6.67 juta dana Persekutuan dan RM1 juta dana Kerajaan Sarawak diperuntukkan bagi memperkukuh pembangunan industri koko termasuk program pemulihan ladang dan pengagihan 350,000 benih koko.
Mengulas industri lada pula, beliau berkata Sarawak kekal sebagai pengeluar lada terbesar negara dengan keluasan tanaman mencecah 8,061 hektar melibatkan 38,587 pekebun kecil setakat Mac 2026.
Katanya, sebanyak RM50 juta telah diluluskan di bawah Program Kemampanan Penanaman Lada di Malaysia bagi menyokong penanaman lada premium serta meningkatkan produktiviti pekebun kecil di negeri ini.
Prestasi positif pelbagai subsektor komoditi itu diyakini mampu terus memperkukuh pertumbuhan ekonomi luar bandar selain meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan pemain industri di seluruh Sarawak. -EDISI UKAS