Kerjasama Kakitangan MUTS Perkukuh Penyampaian Maklumat Tepat Kepada Rakyat
KUCHING: Semangat kerjasama dan komitmen tinggi dalam kalangan kakitangan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) bersama agensi- agensi di bawah seliaannya membolehkan kementerian itu menyampaikan maklumat berkaitan pembangunan serta pelaksanaan projek utiliti dan telekomunikasi secara tepat, telus dan berasaskan fakta kepada rakyat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kerjasama tersebut amat penting terutama sepanjang Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat dijawab dengan maklumat terkini dan tepat.
“Sepanjang persidangan, kementerian telah menerima sebanyak 45 soalan lisan serta beberapa soalan bertulis yang perlu dijawab bagi memenuhi kehendak semua wakil rakyat.
“Soalan-soalan tersebut merangkumi pelbagai isu berkaitan bekalan air, bekalan elektrik, pengedaran gas serta kemudahan telekomunikasi termasuk capaian internet di seluruh Sarawak, khususnya di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penghargaan sempena Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Selasa.
Tambah beliau, setiap maklumat yang dibentangkan turut disemak secara terperinci berdasarkan situasi sebenar dan data masa nyata bagi memastikan ketepatan fakta sebelum dikongsikan di dalam dewan.
“Ini amat penting kerana kalau ada maklumat yang tidak betul yang boleh menimbulkan persepsi negatif, kita mempunyai peluang yang terbuka luas untuk memperbetulkan dengan membentang maklumat sebenar untuk dikongsi,” ujarnya lagi.
Menurut beliau, pendekatan tersebut penting bagi memastikan rakyat menerima penjelasan yang sahih berkaitan pelaksanaan projek serta inisiatif utiliti dan telekomunikasi di kawasan masing-masing.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Liwan Lagang dan Datuk Ibrahim Baki serta ketua-ketua jabatan. - EDISI UKAS