MDMD Perhebat Operasi Penguatkuasaan Haiwan Ternakan Terbiar
MATU: Operasi penguatkuasaan terhadap haiwan ternakan terbiar terus dilaksanakan secara berterusan oleh Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) sebagai langkah menjaga keselamatan dan kebersihan kawasan awam.
Menerusi operasi yang dijalankan pada Selasa, empat ekor lembu terbiar berjaya ditangkap dan disita di beberapa lokasi sekitar Matu dan Daro.
Operasi tersebut melibatkan Seksyen Penguatkuasa MDMD bersama Seksyen Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Bandar MDMD dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Mukah.
Dalam operasi berkenaan, seekor lembu disita di Kampung Tian, Matu manakala tiga ekor lagi ditangkap di jalan menuju Kampung Tebaang, Daro.
Tindakan itu diambil selaras dengan Polisi Haiwan Ternakan Terbiar MDMD bagi memastikan kesejahteraan penduduk serta keselamatan pengguna jalan raya terus terpelihara.
Ketua Seksyen Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Bandar MDMD, Apohrozy Ezrie Ellie berkata, operasi sitaan tersebut merupakan tindakan terakhir selepas nasihat dan teguran kepada pemilik haiwan ternakan tidak diendahkan.
“Selepas ini, pihak Majlis akan melaksanakan operasi sitaan sekiranya mendapat aduan daripada pihak penduduk setempat,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pemilik haiwan ternakan khususnya lembu dan kambing supaya tidak membiarkan haiwan berkeliaran tanpa pengawasan sehingga mengganggu penduduk dan membahayakan pengguna jalan raya.
Menurut beliau, MDMD tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sitaan sekiranya masalah sama terus berulang.-EDISI UKAS