Sarawak Rintis Pembangunan Industri REE, Sokong Sektor Semikonduktor dan Aeroangkasa
KUCHING: Usaha memperkukuh kedudukan Sarawak dalam rantaian ekonomi berteknologi tinggi dipergiat menerusi pembangunan industri unsur nadir bumi (Rare Earth Elements, REE) yang dilihat berpotensi besar menyokong sektor strategik seperti semikonduktor dan aeroangkasa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Pembangunan Industri Unsur Nadir Bumi bagi menyelaras kajian serta penilaian potensi sumber REE di negeri ini.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II mengulas lanjut, penubuhan jawatankuasa khas itu mencerminkan pendekatan proaktif kerajaan dalam memastikan pembangunan industri berimpak tinggi dilaksanakan secara terancang, berasaskan data dan selari dengan keperluan pasaran global.
“Kerangka kajian pembangunan industri REE ini dijangka dimuktamadkan pada Julai 2026, sekali gus menjadi asas penting kepada hala tuju dasar dan pelaksanaan industri ini di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Langkah tersebut ujarnya turut dilihat sebagai pemangkin kepada usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi, di samping memperkukuh kedudukan Sarawak dalam rantaian bekalan global bagi industri berteknologi tinggi.
Pada masa sama, pembangunan REE juga berpotensi membuka peluang ekonomi baharu termasuk penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pemindahan teknologi kepada tenaga kerja tempatan.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak kekal komited memastikan sebarang pembangunan sumber REE dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar serta kepentingan komuniti setempat.
Pendekatan seimbang antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam ini selaras dengan aspirasi negeri untuk muncul sebagai hab ekonomi maju berteraskan teknologi dan kelestarian menjelang 2030, tambahnya. -EDISI UKAS