Kelestarian Alam Sekitar Terus Jadi Keutamaan Sarawak
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar menerusi pemantauan berterusan kualiti air sungai, usaha memperluas autonomi pengurusan alam sekitar di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta pemerkasaan pendidikan kesedaran hijau melibatkan komuniti dan pelajar di seluruh negeri.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) kini melaksanakan Program Pemantauan Kualiti Air Sungai (RWQMP) melibatkan 66 sungai di seluruh Sarawak bagi memastikan status kualiti air ambien dipantau secara berterusan.
Menurut beliau, hasil pemantauan tahun 2025 berdasarkan Indeks Kualiti Air (IKA) menunjukkan 18 sungai berada dalam kategori “Bersih”, 43 sungai “Sederhana Tercemar” manakala lima sungai dikategorikan sebagai “Tercemar”.
"Data tersebut menjadi asas penting kepada perancangan serta pelaksanaan tindakan pengurusan alam sekitar yang lebih berkesan dan mampan.
“Kerajaan Sarawak komited memastikan pengurusan sumber air dilaksanakan secara mampan demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Datuk Amar Awang Tengah berkata, proses pemindahan autonomi alam sekitar di bawah MA63 turut menunjukkan perkembangan positif susulan kelulusan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 oleh Parlimen dan Dewan Negara pada Februari lalu.
Menurut beliau, pindaan tersebut membolehkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menggantung penguatkuasaan keseluruhan atau sebahagian Akta 127 di Sarawak sekali gus membuka laluan kepada pengambilalihan pengurusan buangan terjadual oleh kerajaan negeri.
“NREB kini sedang melaksanakan segala persediaan bagi memastikan pelaksanaan autonomi ini berjalan lancar sebaik sahaja penurunan kuasa di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan diperolehi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pendidikan dan kesedaran alam sekitar terus diperkasa menerusi Program Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) di sekolah-sekolah seluruh Sarawak.
Sehingga kini, sebanyak 754 Kelab PALS telah ditubuhkan hasil kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).
Tambah beliau, platform digital e-PALS yang diperkenalkan pada tahun 2025 turut berfungsi sebagai pusat sehenti bagi urusan pendaftaran, permohonan geran, pelaporan serta penyampaian maklumat berkaitan program tersebut.
Dari Januari hingga April 2026, katanya sebanyak 20 program pendidikan alam sekitar melibatkan komuniti, pelajar, guru dan industri telah dilaksanakan dengan penyertaan lebih 2,800 peserta.-EDISI UKAS