Penguatkuasaan Alam Sekitar Diperkukuh, Pematuhan Industri Semakin Meningkat
KUCHING: Tahap pematuhan industri di Sarawak terus menunjukkan perkembangan positif susulan pemerkasaan penguatkuasaan serta penambahbaikan sistem Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang lebih sistematik, tegas dan berkesan.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, rekod setakat Mei 2026 menunjukkan hanya satu kes kilang tidak berlesen direkodkan berbanding lima kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurut beliau, penurunan tersebut mencerminkan keberkesanan tindakan bersepadu pelbagai agensi penguatkuasaan dalam memastikan pematuhan industri terhadap undang-undang dan piawaian alam sekitar.
"Kerajaan Sarawak juga terus memperkukuh tadbir urus alam sekitar menerusi pelaksanaan sistem EIA yang lebih efisien melalui pendekatan penilaian dua peringkat oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB).
“Dari Januari hingga April 2026, sebanyak 12 laporan EIA telah dinilai dengan lapan diluluskan dan empat ditolak, manakala 11 laporan baharu masih dalam proses penilaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambah beliau, dalam tempoh sama sebanyak 372 pemantauan pasca-EIA telah dilaksanakan dengan 1,287 laporan pemantauan alam sekitar diterima oleh pihak berkuasa.
Hasil pemantauan tersebut ujarnya, sebanyak 40 kes ketidakpatuhan dikesan, 58 kertas siasatan dibuka dan lapan kompaun dikeluarkan melibatkan kutipan RM60,000.
Datuk Amar Awang Tengah menjelaskan lagi, pendekatan kawal selia kendiri melalui pelaksanaan Environmental Compliance Audit (ECA) turut menjadi pelengkap penting dalam memperkukuh pematuhan industri.
Menurut beliau, setakat April 2026 seramai 308 juruaudit berdaftar telah diiktiraf bagi melaksanakan audit pematuhan alam sekitar secara berkala.
“Inisiatif ini menekankan tanggungjawab industri sendiri dalam memastikan pematuhan alam sekitar melalui audit berkala oleh juruaudit kompeten,” ujarnya.
Tegas beliau, pelaksanaan ECA dijangka diperluaskan secara mandatori ke sektor pertanian, kuari dan perlombongan bermula tahun 2027 termasuk menerusi langkah awal pemeteraian Memorandum Persefahaman bersama syarikat terlibat sebagai projek perintis.-EDISI UKAS