110,815 Lot Individu Berjaya Diukur Setakat April 2026
KUCHING: Sebanyak 110,815 lot individu berjaya diukur sehingga 30 April 2026 bagi tujuan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak dalam usaha mengiktiraf hak tanah adat Bumiputera (NCR).
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengukuran tersebut melibatkan kawasan seluas 132,414 hektar atau 327,261 ekar yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah.
“Melalui Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu yang dilaksanakan sejak Oktober 2010 hingga 30 April 2026, seluas kira-kira 1.23 juta hektar atau 3.04 juta ekar telah berjaya diukur secara perimeter.
“Daripada jumlah itu, kira-kira 966,440 hektar atau 2.38 juta ekar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, sejak tahun 2017, pengukuran turut memberi fokus kepada lot individu bagi mempercepatkan pengeluaran surat hak milik tanah di kawasan yang telah diwartakan.
Katanya, proses pengukuran dibuat berdasarkan permohonan serta kesediaan penuntut tanah terlibat.
Beliau turut menggesa penuntut tanah NCR supaya hadir semasa kerja pengukuran dijalankan di lapangan, menanda sempadan tanah dengan jelas serta mengelakkan pertikaian tuntutan bagi memastikan proses pengukuran dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan cepat.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ibanez Jeffery