20 Ketua Isi Rumah Miskin Terima Bantuan Sejahtera Madani Sempena Hari Gawai
ENGKILILI: Seramai 20 Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin berdaftar di bawah sistem eKasih menerima bantuan Baucar Tunai bernilai RM500 seorang menerusi Program Penyerahan Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia Madani (Sejahtera Madani) bagi Skop Kebajikan Tahun 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Kecil Engkilili, pada Rabu.
Program anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Sri Aman dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan itu melibatkan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM10,000 bagi membantu penerima membuat persiapan menyambut perayaan Hari Gawai yang bakal tiba.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, kerajaan terus komited memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian menerusi pelbagai inisiatif bantuan yang disalurkan secara bersasar kepada golongan memerlukan.
“Program seperti ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat serta memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya semasa berucap dalam majlis itu.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pendekatan yang menyeluruh, inklusif dan berfokus selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
Selain penyerahan bantuan, program tersebut turut memberi peluang kepada penerima mendapatkan maklumat berkaitan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kebajikan yang disediakan kerajaan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Lubok Antu Akoi Ejau, Pegawai Pembangunan Zon Radiah Mohamad dan Penolong Pegawai Pejabat Pembangunan Negeri Lubok Antu Ronie Besri. -EDISI UKAS