Pemain Industri Perkayuan Diseru Menghasil Produk Kayu Bernilai Tambah
KUCHING: Pemain industri perkayuan di Sarawak diseru lebih proaktif menumpukan keupayaan dalam penghasilan produk kayu bernilai tambah.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini adalah mengikut penurunan nilai eksport industri perkayuan di Sarawak pada suku pertama tahun 2026.
“Penurunan sebanyak 10 peratus, iaitu kepada RM564 juta berbanding RM624 juta pada suku pertama tahun 2025.
“Penurunan ini berkait rapat dengan penyusutan permintaan pasaran global yang telah memberi kesan kepada prestasi eksport industri perkayuan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II itu berkata, nilai eksport kayu pellet sebagai produk bernilai tambah menunjukkan peningkatan sebanyak 3.3 peratus berjumlah RM21.4 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM20.7 juta pada 2025.
Datuk Amar Awang Tengah menggalakkan pemain industri perkayuan untuk menghasilkan kayu kejuruteraan (engineered wood), perabot, ‘biochar’, biojism dan lain-lain.
Katanya lagi, industri buluh mempunyai potensi besar untuk diterokai oleh Sarawak dan semua pihak termasuk komuniti tempatan kerana nilai pasaran produk buluh adalah dijangka mencecah USD 118 bilion menjelang tahun 2034 berdasarkan ‘Bamboo Global Market Report 2025’.
“Dalam mempromosikan industri ini di Sarawak, seluas 5,109 hektar kawasan telah ditanam dengan buluh oleh komuniti dan entiti komersil.
“Bagi menyokong program penanam tersebut, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) telah membangunkan tiga tapak semaian di Sabal, Tanjung Manis dan Kuala Baram yang berupaya mengeluarkan sebanyak 450,000 anak benih buluh setahun,” jelasnya. -EDISI UKAS