60 Pelatih PPDK Mambong, Siburan Dirai Dalam Program Jalinan Kasih Pra Gawai
KUCHING: Seramai 60 pelatih dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Mambong dan Siburan disantuni menerusi Program Jalinan Kasih Pra Gawai 2026 bertemakan ‘Gawai Ceria Bersama PPDK Mambong & Siburan di Kampung Emperoh Garung, pada Selasa.
Timbalan Presiden II Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) Sarawak, Dato Dayang Morliah Awang Daud berkata, program berkenaan menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara SABATI dan komuniti setempat, khususnya warga PPDK.
Menurut beliau, SABATI sebelum ini secara konsisten menyalurkan sumbangan tahunan sebanyak RM2,000 kepada setiap PPDK di seluruh Sarawak bagi membantu pembelian peralatan latihan, namun inisiatif itu terhenti seketika akibat pandemik COVID-19 sebelum diteruskan semula pada tahun ini.
“Melalui program ini, SABATI berharap dapat terus membantu PPDK bukan sahaja dari segi kewangan, malah memahami keperluan sebenar mereka termasuk peralatan pembelajaran, aktiviti serta keperluan pentadbiran,” katanya.
Sebagai tanda sokongan, SABATI telah menyampaikan sumbangan keseluruhan sebanyak RM4,000 kepada setiap pusat terlibat, merangkumi RM2,000 dalam bentuk cek dan RM2,000 lagi dalam bentuk barangan keperluan.
Selain itu, para pelatih turut menerima duit Gawai dan cenderahati bagi menceriakan sambutan perayaan yang bakal tiba.
Hadir sama, Timbalan Presiden III SABATI Dato Enn Ong Siok Ean, Pengerusi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Sarawak Dato Baduyah Bujang serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS