Sarawak Perkukuh Industri dan MSME, Pacu pembangunan ekonomi baharu
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh hala tuju pembangunan ekonomi negeri menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan memberi tumpuan kepada transformasi ekonomi yang lebih mendalam, inklusif dan mampan menjelang 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata usaha tersebut bukan sahaja bertujuan mencapai pertumbuhan ekonomi, malah memastikan industri serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) terus menjadi pemacu utama fasa pembangunan ekonomi baharu Sarawak.
Beliau berkata, di bawah RMK-13, Sarawak telah merangka beberapa strategi utama bagi mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030.
“Antara strategi tersebut termasuk memperkukuh rantaian bekalan tempatan melalui kerjasama strategik dan pembangunan kapasiti, memperluas aktiviti hiliran bernilai tinggi, serta membangunkan sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas menerusi inovasi dan kolaborasi industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu menambah, kerajaan turut memberi fokus kepada pembangunan perniagaan digital dan pelaburan bernilai tinggi dalam industri strategik, mempercepatkan pendigitalan sektor-sektor keutamaan serta melahirkan tenaga kerja mahir, tangkas dan produktif selaras keperluan industri semasa.
Bagi menyokong pelaksanaan strategi tersebut, Kerajaan Sarawak ujarnya akan terus memperkukuh infrastruktur digital, pembangunan bakat, akses pembiayaan, peluang pasaran serta daya tahan rantaian bekalan tempatan.
Dalam masa sama katanya, kerjasama strategik akan dipergiat bagi memastikan perusahaan tempatan lebih bersedia memenuhi kehendak pelabur dan keperluan industri global.
Sehubungan itu jelasnya, kementerian turut membangunkan ENBASE, sebuah repositori digital sehenti MSME dan sistem pengurusan keusahawanan berpusat untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan dengan mengintegrasikan perkhidmatan sokongan, data serta peluang perniagaan bagi MSME.
“ENBASE akan memudahkan akses kepada bantuan kewangan, latihan dan program pembangunan selain membantu kerajaan melaksanakan perancangan dasar yang lebih tersusun dan berkesan,” jelasnya. -EDISI UKAS