KUCHING: Lebih 47,000 usahawan di seluruh Sarawak menerima manfaat daripada pelbagai program pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), memperlihatkan impak usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pendekatan menyeluruh itu membuktikan komitmen kerajaan dalam membangunkan ekosistem keusahawanan yang inklusif, tersusun dan mampan.
“Kementerian saya kekal komited dalam membangunkan ekosistem keusahawanan yang lebih inklusif, tersusun dan mampan di seluruh Sarawak.
“Melalui pelbagai program yang dilaksanakan, kami membantu usahawan untuk memformalkan perniagaan, mengembangkan operasi serta bersaing dalam ekonomi yang lebih berstruktur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menurutnya, menerusi Program Jum Regista Bisnes seramai 5,932 usahawan telah dibantu untuk memformalkan perniagaan dengan lebih 60 peratus berjaya mengembangkan perniagaan melalui akses kontrak, pembiayaan dan pasaran.
Katanya, di bawah RMK12, sebanyak RM237 juta telah disalurkan kepada 10,746 usahawan, selain 219 program pembangunan kapasiti dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran dan kesiapsiagaan perniagaan.
“Secara keseluruhan lebih 47,400 usahawan telah menerima manfaat pelbagai program keusahawanan di bawah RMK12, mencerminkan peningkatan penyertaan serta daya tahan sektor tersebut di Sarawak.
“Bagi kawasan luar bandar, seramai 949 usahawan di Bahagian Limbang termasuk Ba’Kelalan turut menerima manfaat bantuan kewangan berjumlah RM9.8 juta,” jelasnya. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Ibanez Jeffery