Pengukuran Tanah NCR Dipergiat, Tumpuan Lot Individu
KUCHING: Usaha mempercepatkan pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) terus menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak, dengan tumpuan kini diperluas kepada pengukuran lot individu bagi mempercepatkan pengeluaran surat hak milik tanah.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar ll, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, selain pengukuran perimeter di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei akan memberi fokus khusus kepada pengukuran lot individu di bawah Seksyen 18.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan pemilikan tanah dapat disahkan secara sah dan memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Bagi memastikan kelancaran kerja pengukuran ini, para penuntut tanah yang telah diwartakan tanah mereka di bawah Seksyen 6 hendaklah memohon secara rasmi serta bersedia memberi kerjasama penuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan pengukuran lot individu memerlukan komitmen bersepadu daripada semua pihak termasuk wakil rakyat dan penuntut tanah sendiri.
“Jabatan Tanah dan Survei memerlukan kerjasama, komitmen serta penglibatan langsung semua pihak bagi memastikan proses ini berjalan lancar dan teratur,” ujarnya.-EDISI UKAS