OPS TIRIS 4.0 (Bersepadu): KPDN Sarawak, PGA Dan UKPS Berjaya Menggagalkan Tiga Kes Penyelewangan Diesel Di Sibu
KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sarawak dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) telah berjaya menggagalkan cubaan menyeleweng diesel di Sibu.
Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan berkata kejayaan itu hasil risikan dan pemantauan rapi pasukan KPDN Sarawak dan UKPS.
“Pasukan penguat kuasa KPDN Sarawak dan UKPS telah menemui sebuah kapal dengan muatan diesel yang dianggarkan 10,000 liter bernilai RM21,500 dalam 4 buah tangki dipercayai disimpan tanpa permit, sebuah van dipercayai menyeleweng diesel dengan membuat pembelian berulang di stesen minyak.
“Hari ini juga (19 Mei 2026) Pasukan Gerakan Am (PGA) telah berjaya menyerbu satu premis dipercayai menyimpan diesel tanpa permit di dalam dua skid tank yang dianggarkan 3,200 liter bernilai RM15,680 dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 40an yang merupakan pengurus premis berkenaan,” katanya menerusi siaran media pada Selasa.
Kes tersebut diserah kepada pihak KPDN untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan keseluruhan bagi kedua-dua kes itu dipercayai bernilai RM78,490.
Menurut Ahmad Nadzri lagi, pemeriksaan awal mendapati premis dan kapal berkenaan gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan pemilikan dan pengangkutan bahan api tersebut.
Sehubungan itu, tiga tindakan kes telah dihasilkan di bawah Ops 555 dan Ops Jeriji di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki atau ada dalam kawalan barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak akan melakukan kesalahan.
Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika disabit kesalahan boleh didenda seperti berikut bagi individu denda tidak melebihi RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta Sahaja) atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta Sahaja) atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, bagi syarikat pula denda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta Sahaja) manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta Sahaja).
Sepanjang pelaksanaan OPS TIRIS 4.0 (Bersepadu) yang bermula 16 Mac 2026 hingga 17 Mei 2026, KPDN Sarawak dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan UKPS telah menjalankan 4,782 pemeriksaan di seluruh Sarawak dengan 107 kes dihasilkan melibatkan penangkapan seramai 21 individu.
Diesel menyumbang kes terbanyak iaitu 97 kes dengan anggaran rampasan sebanyak 1,015,395.51 liter bernilai RM3.7 juta dan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM9.6 juta.
Kerajaan Sarawak bersama Kerajaan Persekutuan melalui agensi penguatkuasaan seperti JPJ Negeri Sarawak, PDRM dan UKPS komited memperkukuhkan kerjasama strategik dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan, khususnya diesel yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan penyelewengan subsidi negara.
Terdahulu, KPDN Sarawak bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak dan UKPS telah menjalankan satu operasi bersepadu melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di sekitar Kuching pada Selasa.
Pemilihan tempat sekatan jalan raya ini merupakan kawasan-kawasan ’hot-spot’ yang dipercayai laluan untuk seleweng diesel.
Penguatkuasaan ini dilaksanakan bagi memastikan pematuhan undang-undang perdagangan dan pengangkutan serta membanteras penyelewengan diesel yang melibatkan kenderaan yang membuat pengubahsuaian secara tidak sah.
Hadir sama Pengarah KPDN Negeri Sarawak Matthew anak Dominic Barin, Pengarah JPJ Negeri Sarawak Norizan Jili dan wakil Pengarah UKPS. -Edisi UKAS